Kalau anda nampakspower tool harga bawah RM60, anda mesti terbayang produk murah dan mudah rosak. Namun, anda kena cuba pemutar skru IKEA Trixig ini kerana ia akan melesetkan anggapan anda tadi.

Orang yang hobinya DIY dan banyak lakukan kerja rumah wajib ada power tool ini sebab ia mudah dan jimatkan masa. Ini adalah reviu IKEA Trixig dan di akhir artikel anda akan tahu kenapa perlu anda belinya dan kenapa anda tak perlu belinya.

IKEA Trixig: Rekaan kompak, ergonomik tinggi
Pemutar skru berbateri Trixig ini ada rekaan berbentuk L yang kompak. Tahap ergonomiknya baik dengan permukaan bersalut getah di tempat-tempat tertentu untuk beri lebih cengkaman. Ada satu ciri bijak yang saya suka. Di bahagian atas badan ada permukaan bermagnet. Jadi saya boleh letakkan skru ataupun bit sementara apabila tak digunakan.

Kualiti binaannya sangat baik untuk sebuah produk berharga RM59. Tiada komponen longgar, kualiti plastik tebal, cukup berat dalam tangan. Ia rasa seperti alat yang akan berfungsi dengan jayanya.

IKEA Trixig: Sangat mudah diguna tapi ada dua kekurangan kritikal
Sama macam pemutar skru berbateri lain, nak gunanya mudah sahaja. Picu yang terdapat pada badannya hanya perlu ditekan dan motor akan mula berputar. Binaannya yang ringkas ini sebenarnya mendedahkan 2 kekurangan yang ada pada Trixig.

Kekurangan pertama adalah kelajuan motor elektriknya tak boleh laras. Maknanya, sejurus anda tekan picu, motor akan berputar pada kelajuan maksimum. Ia agak bahaya kerana ada risiko skru terlebih ketat. Isu pertama ini seterusnya mendedahkan isu kedua. Isu kedua adalah ketiadaan ciri menyelaraskan tork juga mendatangkan risiko skru rosak.

Namun, ini bukanlah kekurangan yang buatkan ia langsung tak praktikal untuk digunakan.
Beralih ke info seterusnya, Trixig dilengkapi bateri 1,500mAh yang dicas melalui port USB-C yang terletak dalam badannya. Malangnya kabel USB-C tidak disediakan namun anda boleh gunakan pengecas telefon anda untuk mengisi semula bateri Trixig. Ia boleh terus terima tenaga pada paras sehinga 5V & 3A (18W).

Baterinya tidak boleh ditanggal. Ia lantas perkukuhkan hujah saya yang Trixig ini hanya sesuai untuk kegunaan kasual. IKEA ada produk yang lebih lasak iaitu TRIXIG drill/screwdriver yang harganya RM150.

Model ini datang dengan bateri boleh ditanggalkan supaya tiada downtime sewaktu bekerja.

IKEA Trixig: Sambar atau Hambar?
Soalan pengakhiran yang akan orang ramai tanya untuk Trixig pastinya berbaloi ke beli ataupun cari alternatif yang lebih baik. Mari kita rumuskan spesifikasi teknikalnya secara ringkas:
- Kelajuan motor: 200 RPM
- Tork: Sehingga 5Nm
- Bateri: 1,500mAh terbina
- Pengecasan: USB-C sehingga 5V,3A
- Saiz bit: 1/4” standard

Saya katakan, sambar sekiranya:
- Anda perlukan pemacu skru berkualiti tinggi pada harga murah
- Produk yang kompak untuk bantu ada pasang perabot IKEA
- Kemudahan pengecasan USB-C boleh gunakan kabel telefon pintar
- Produk daripada jenama dipercayai

Anda boleh hambar kalau anda perlukan:
- Ciri kawalan halaju motor
- Pelaras tork untuk disuaikan dengan objek yang ingin diskru
- Peralatan heavy-duty untuk kerja-kerja kontraktor
IKEA Trixig sangat value-for-money
IKEA Trixig adalah satu produk yang membuktikan murah tak semestinya tak berkualiti. Pada harga RM59 sahaja, powertool bajet ini sesuai untuk ada dalam kotak peralatan anda kerana berjaya menyeimbangkan harga dan kualiti.

Trixig sangat saya sarankan untuk yang hobinya lakukan DIY secara kasual, tak mahu berbelanja besar untuk peralatan pertukangan yang harganya mahal, tapi frekuensi gunanya tak sekerap untuk anda dapatkan peralatan yang premium.
Alternatif kepada IKEA Trixig
Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada IKEA Trixig. Berikut adalah 3 model yang boleh ditemukan dalam gedung dalam talian.
Black & Decker KC4815 – RM100
Kelebihan Black & Decker KC4815 berbanding Trixig adalah badannya boleh berubah daripada bentuk L kepada bentuk I. Jadi anda beroleh dua gaya pemutar skru dalam satu produk.


Motornya hampir sama kuasa dengan IKEA Trixig, ia berputar pada kadar 200 kali seminit. Kemudian, ia juga dilengkapi dengan ciri kawalan tork. Harga jualannya adalah sekitar RM100.

Bosch GO 3 – RM200
Daripada jenama premium, anda boleh dapatkan Bosch GO 3. Ia adalah pemutar skru memanjang dengan ciri kawalan tork. Motornya berputar pada kelajuan 360 kali seminit dengan tork boleh laras sama ada 0.2/2.5/5 Nm.


Xiaomi Mi Cordless Screwdriver – RM120
Xiaomi pun ada produk pemutar skru cordless. Harganya sekitar RM120. Kelebihan pemutar skru Xiaomi ini adalah kapasiti bateri lebih besar pada 2,000mAh. Motor pemutar skru ini sama seperti IKA iaitu berputar 200 kali seminit dengan tork sehingga 5Nm.

Lagi perkara menarik, pada harga sebegitu, ia datang dengan beberapa bit percuma seperti kepala bit Phillips, Hex, Slotted, Star, dan Pozidriv.

